Friday, August 15, 2008

Wabak Assabiyyah UiTM terus merebak

Bermula dengan secebis lontaran pandangan Menteri Besar Selangor pada 10 Ogos 2008 agar kerajaan membuka pintu kemasukan ke UiTM sebanyak 10% kepada golongan bukan bumiputera, pelajar UiTM terus menonjolkan semangat assabiyyah pada 12 Ogos 2008 dengan mengumpulkan 5000 orang pelajar di hadapan bangunan SUK, Shah Alam. Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan kritikan pedas ala serbuk cili allagapas daripada Naib Canselor UiTM Shah Alam, Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah yang menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sebagai seorang yang ”cetek pemikiran” kerana sanggup mengeluarkan kenyataan sesuka hati sehingga dilihat menghina dan mengutuk kaum sendiri. Isu ini terus dicanang-canangkan oleh media arus perdana dengan memperbesarkan percikan api ini sehingga seolah- olah ia sudah membakar seluruh Malaysia, walaupun tindakan kerajaan sebelum ini yang banyak menzalimi rakyat dengan ”membakar” rakyat dengan kesengsaraan yang berpanjangan, terus dilaporkan dengan sekadar melepas batuk ditangga hatta kebanyakannya tidak dilaporkan. Tetapi, media arus perdana lebih berminat untuk melaporkan upacara- upacara perasmian dan gimik memberi kunci rumah PPRT ala sarang burung yang telah berpuluh tahun diperjuangkan oleh rakyat.

Tidak cukup di UiTM Shah Alam, wabak kudis assabiyyah ini terus merebak. Bermula di UiTM Shah Alam, UiTM Machang, Kelantan, Ipoh, Arau, Bandar Jengka, Melaka, Sungai Petani, Kuala Terengganu, kini kudis ini terus merebak ke UiTM Permatang Pauh, UiTM Segamat , dan terus terbang menyeberangi laut China Selatan ke UiTM Samarahan Sarawak. Sungguh cepat penyakit ini merebak, entah apakah ”agen pembawanya” yang sangat efesien itu hingga berjaya menjangkiti berpuluh-puluh ribu mangsa dan entah berapa banyak lagi mangsa yang akan terjangkit selepas ini. Sebelum isu kouta 10% UiTM ini timbul, isu pembukaan kouta sebanyak 45% biasiswa JPA kepada bukan bumiputera dan kouta 10% kemasukan ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia umpama benih bagi wabak ini walaupun ia hanya dibincangkan oleh sekelompok golongan extrimis assabiyyah Melayu .

Wahai pejuang bangsa Melayu sekalian! Apakah kalian tidak gentar dengan azab yang dijanjikan oleh Allah bagi penyeru kepada assabiyyah? Apakah yang terlalu istimewa dengan benih Melayu yang kalian miliki berbanding dengan aqidah Islam yang maha agung yang diturunkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad tetapi tidak kalian perjuangkan? Ingatlah bahawa, Islam bukanlah satu agama untuk bangsa Arab badwi di pergurunan, yang hidupnya berpindah- randah menaiki unta, tetapi ia merupakan aqidah untuk seluruh bangsa didunia ini tidak kira sama ada bangsa Arab, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan beratus- ratus lagi bangsa yang ada di muka bumi ini hingga ke hari kiamat. Kita tidak pernah diberi pilihan oleh Allah untuk lahir sebagai mana- mana bangsa, tetapi kita perlu memilih Islam sebagai penunjuk jalan yang lurus, yang akan memandu tindakan kita agar sesuai dengan perintah dan larangan Allah dan bukannya sebagai agen- agen penyebar penyakit assabiyyah ini.

Rasulullah telah diutuskan untuk menyampaikan Islam dan menyeru seluruh umat untuk menganuti dan memperjuangkan aqidah Islam serta menyatukan pelbagai bangsa di dunia ini agar melebur menjadi ummatan wahidah atas dasar aqidah Islam dan bukannya atas nama kebangsaan. Selain itu, adalah menjadi kewajipan bagi pemerintah agar meyediakan kemudahan pendidikan kepada seluruh warganegaranya, tanpa mengambil kira apakah agamanya apatah lagi bangsanya. Maka, menjadikan satu kelompok bangsa bersifat eksklusif berbanding dengan bangsa- bangsa lain merupakan satu kezaliman dan maksiat kepada Allah. Kaum kuffar pastinya akan tersenyum lebar melihat penyakit yang mereka tanam beratus- ratus tahun dahulu, yang telah membantu ke arah jatuhnya institusi agung umat Islam, Al-Khilafah, terus bercambah dan merebak. Rasulullah pernah bersabda :

“Bukan daripada golongan kami orang yang menyeru kepada assabiyah, dan bukan daripada kami orang yang berperang atas dasar assabiyah dan bukan daripada kami orang yang mati atas dasar assabiyah.” (Riwayat Abu Daud).

Kepada yang berpandangan bahawa UiTM merupakan “benteng terakhir” bagi bangsa Melayu, maka bertaubatlah cepat- cepat selagi nyawa masih dikandung badan sebelum tiba hari dimana akan diperhitungkan amalan kalian dan bukannya dipersoalkan apakah bangsa kalian. Wallahu a’lam.

No comments: