Sunday, August 31, 2008

Marhaban Ya Ramadhan

"Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu agar kamu bertaqwa." [TMQ Al-Baqarah, (2 : 183)]

Marhaban, Marhaban, Marhaban Ya Ramadhan! Ramadhan merupakan bulan yang telah diwajibkan oleh Allah ke atas umat Islam untuk berpuasa di siang harinya. Malamnya pula disunatkan mendirikan solat tarawikh di mana solat ini hanya khusus dilakukan pada malam- malam Ramadhan. Bagi orang yang berpuasa, Allah telah berjanji melalui RasulNya yang bersabda :


"Bagi orang yang berpuasa terdapat dua kebahagiaan. Kebahagiaan pertama, ketika ia berbuka. Ia berbahagia lantaran bukanya itu. Kedua, ketika ia bertemu Allah nanti. Ia berbahagia lantaran puasa yang dulu dikerjakannya di dunia". [HR. Ahmad dan Muslim]

Namun, kehadiran bulan yang penuh barakah pada tahun ini turut diwarnai dengan maksiat kepada Allah, dengan pelbagai pesta menyambut “kemerdekaan” yg ke-51. Kemerdekaan fatamorgana ini terus diraikan dari tahun ke tahun. Di resort- resort peranginan dan dijantung- jantung bandar besar, pastinya akan ada pesta-pesta kemerdekaan yang dianjurkan, terutamanya oleh golongan muda- mudi yang telah rosak akhlaknya, kesan daripada penerapan sistem sekular di bumi Malaysia ini.


Selain itu, kehadiran artis rock dari Kanada, Avril Lavigne turut mengundang kontroversi dengan pelbagai pihak terus mengecam kehadirannya di Malaysia, namun telah membuat persembahan di Stadium Merdeka pada 29 Ogos 2008 setelah jemaah menteri meluluskannya untuk mengadakan konsert tersebut. Bulan yang sepatutnya umat Islam semakin mempertingkatkan amalan dan berazam agar meneruskannya pada bulan- bulan yang lain, dicemari dengan pelbagai kemaksiatan kepada Allah.


Bazaar- bazaar Ramadhan turut tumbuh umpama cendawan selepas hujan. Bazaar yang dipenuhi dengan pelbagai makanan dan minuman, lauk-pauk, kuih-muih yang seolah- olah umpama pesta makanan setahun sekali. Disurau- surau dan masjid- masjid, Iftar Ramadhan turut diadakan oleh kumuniti surau/masjid dan penduduk setempat. Semoga program seperti Iftar ini mampu merapatkan ukhuwah selama Muslim dan bukannya semata- mata program menghilangkan lapar dan dahaga setelah berpuasa sepanjang hari.


Kalau 87 tahun yang lepas, umat Islam berpuasa dalam keadaan adanya seorang Khalifah yang sentiasa memelihara dan mengatur urusan mereka, namun apa yang menyedihkan berlaku sekarang, umat Islam terus dirundung ”penyakit” yang semakin parah. Ramadhan merupakan bulan kemenangan buat umat Islam dan bukannya bulan perpecahan dan bulan yang penuh dengan kemaksiatan kepada Allah dengan tidak menerapkan syariat Islam sepenuhnya. Ini belum dikira lagi dengan berpecahnya kesatuan umat Islam dalam memulakan puasa Ramadhan dan menyambut Hari Raya sepertimana tahun- tahun yang lepas. Sekiranya kita kaji dan teliti fakta yang ada, banyak peristiwa- peristiwa besar berlaku pada bulan Ramadhan. Berikut merupakan diantaranya :

17 Ramadhan 2H

Perang Badar Al-Kubra

Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Perang ini berlaku pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan 313 tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini, telah megalahkan lebih 3000 tentera musyrikin Mekah.


Ramadhan 5H

Persiapan Perang Khandaq


Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah setelah pasukan muslimin berjaya memecahkan belahkan pasukan musuh.


20 Ramadhan 8H

Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala

Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah penaklukan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.


Ramadhan 9H

Perang Tabuk

Rasulullah SAW tidak mendapati tentera Rom lalu kembali ke Madinah.

Utusan Thaif

Utusan Thaif datang ke Madinah untuk masuk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajiban-kewajiban dan melaksanakan puasa disana.

Utusan Raja Himyar

Utusan Raja Himyar datang ke Madinah untuk menyatakan kemasukan Islam. Rombongan tersebut diterima dan dimuliakan oleh Rasulullah SAW. Beliau kemudian menulis batas-batas hak dan kewajiban mereka dalam bentuk dokumen bertulis.

Ramadhan 10H

Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera dibawah pimpinan Saidina Ali Karamallahu wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.

Ramadhan 53H

Kemenangan tentera Islam di pulau Rhodes.

Ramadhan 92H

Islam telah tersebar dan membuka kawasan- kawasan baru sehingga ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria. Spanyol di bawah kekuasaan Raja Frederic of the Visigoths. Musa ibn Husair, Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Frederick. Antara peristiwa yang memotivasikan tentera- tentera Allah ini semasa perang ini ialah, apabila Tariq bin Ziyad mengarahkan tenteranya membakarkan kapal- kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera Raja Frederick. Beliau berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun syahid”. Pasukan tentera ini bukan sahaja telah mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Frederick, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Spanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.

Ramadhan 129H

Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.

Ramadhan 584H

Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.

Ramadhan 658H

Semasa kemasukan tentera tartar di Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Islam pada masa tersebut, tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin. Selain itu, mereka mengarahkan penduduk Kristian supaya makan babi dan meminum arak secara terbuka dijalanan dan memaksa kaum muslimin turut serta. Azan turut dilarang daripada dilaungkan dan masjid- masjid disirami dengan arak oleh tentera- tentera Tartar yang biadap ini. Kecelakaan ini disambut oleh Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H (6 September 1260M) di Ain Jalut. Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan Saifudin Qutuz, Jullanar yang akhirnya syahid di medan pertempuran. Semasa beliau nazak, Saifudin Qutuz memapahnya dan berkata ”Wahai Kekasihku”. Ini dibalas oleh Jullanah dengan mengatakan, ”Janganlah kamu berkata demikian. Kasih lagilah kamu terhadap Islam”. Setelah itu, tentera- tentera ini terus berjihad, dan kemenangan di raih oleh Islam di depan pintu gerbang Mesir di Kota Ain Jalut.

Di atas merupakan sebahagian kecil daripada catatan yang membuktikan umat Islam bukanlah umat yang lemah pada suatu ketika dahulu. Mereka turut berperang dibulan yang di wajibkan oleh Allah berpuasa. Bulan Ramadhan bukanlah bulan yang hanya dipenuhi dengan ibadah- ibadah khusus seperti solat tarawih dan witir serta bertadarus Al-Quran, tetapi seharusnya turut dipenuhi dengan perjuangan untuk meninggikan syiar Islam dengan tertegakknya Khilafah di mukabumi ini. Berpuasa di bulan Ramadhan bukanlah satu alasan untuk kita ”mengurangkan” aktiviti- aktiviti untuk Islam, malah sepatutnya dipergandakan lagi agar kita dapat meraih pahala berlipat kali ganda yang Allah janjikan.

Semoga di bulan Ramadhan 1429H kali ini mampu untuk memberi momentum yang amat kuat bagi umat Islam diseluruh dunia, agar menggerakkan seluruh anggota badan mereka mencari keredhaan Allah dan berjuang bersama- sama merialisasikan janji Allah dengan tertegaknya Khilafah untuk kedua kalinya. Insya Allah.


Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. [TMQ Al Baqarah (2 : 185)]

No comments: