Friday, October 10, 2008

Jangan Berpuak di dalam Puak

Ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Pemimpin-Pemimpin UMNO Negeri Kedah di sebuah hotel di situ, Datuk Seri Najib (DSN) mengingatkan kepada semua ahli UMNO supaya ”jangan berpuak”. Agak aneh seruan ini kerana kewujudan UMNO sendiri memang sudah sedia ada merupakan satu puak. Mungkin yang ingin dimaksudkan oleh DSN ini ialah supaya ”Jangan berpuak di dalam puak” supaya puak yang ada tetap satu puak iaitu UMNO. Memang sudah lumrah dalam parti politik assabiyyah seperti UMNO akan sentiasa wujud ”puak-puak kecil” di dalam puak besar UMNO. Ini kerana, puak- puak kecil inilah yang akan mendominasi puak besar UMNO dan mempengaruhi segala perjalanan parti dan malah boleh mendominasi perjalanan negara.

Mungkin tidak terlalu kasar bagi kita sekiranya menganalogikan puak- puak yang wujud ini seperti puak- puak sekawan singa di satu kawasan perburuan. Di mana puak- puak singa lain tidak dibenarkan berburu dan menceroboh kawasan perburuan puak singa yang lain. Dan sekiranyanya puak lain menceroboh dan ”mencari rezeki” di kawasan puak lain, maka akan berlakulah pergaduhan besar yang boleh membawa kekacauan di seluruh kawasan tersebut. Biasanya puak yang besar dan diketuai oleh singa yang kuat akan mendominasi kawasan perburuan tersebut, sesuai dengan prinsip ”The Law of Jungle”. Puak- puak yang kecil dan mempunyai ketua yang lemah (meskipun bijak), tidak akan mampu menguasai kawasan perburuan tersebut.

Seruan agar semua ahli UMNO bersatu semula setelah selesai ”perebutan tahta” tanpa meminggirkan puak yang kalah adalah satu yang kurang masuk akal. Ini kerana, sepanjang perjalanan puak besar UMNO ini, ”klik- klik” dikalangan kepimpinan dan ahli menang tidak dapat dipisahkan dan pastinya akan mewujudkan pelbagai ”team-team”, tidak kira sama ada ia merupakan ”Team A” ataupun ”Team B” mahupun ”My Team” sekalipun. Team- team ini pastinya akan menonjolkan jagoan dari team mereka dan menjungjung mereka supaya dapat menguasai tahta besar. Dan pastinya, segala junjungan dan sokongan tersebut akan mendapat imbalannya dan bukannya hanya sekadar sokongan membabi buta sahaja. Team- team ini pasti akan tetap wujud, cuma yang bezanya sama ada ahlinya tetap orang yang sama, ataupun ahlinya telah berpindah ke team yang lain. Biasanya team yang memerintah akan mudah mempengaruhi ahli team yang lain untuk menganggotai team mereka dengan pelbagai jenis sogokan.

Inilah keburukan dan kucar-kacirnya sekiranya parti yang didirikan bukan berasaskan aqidah Islam. Perjalanan parti sekular ini pastinya akan banyak dipengaruhi manfaat demi memenuhi gharizatul baqa’ (naluri survival) masing- masing. Berbeza dengan parti yang asasnya adalah aqidah Islam, akan mewujudkan sekelompok daripada umat yang ikhlas berjuang dengan membawa fikrah Islam, demi menzahirkan hukum- hukum syariat Islam. Parti Islam yang jelas fikrah dan tariqah partinya (yang berlandaskan Islam) akan memimpin umat supaya memilih pemimpin yang betul- betul mampu berkhidmat kepada seluruh umat dan bukannya hanya berkhidmat untuk ”puak-puak” pemerintah seperti yang berlaku sekarang. Pemimpin yang dipilih tersebut akan melaksanakan seluruh aturan dan larangan Allah secara kaffah dan memimpin umat ke arah jalan yang diredhai Allah.

Wahai puak-puak sekular! Ingatlah bahawa diri kalian akan dibangkitkan hari kemudian dimana tiada gunanya anak pinak, puak-puak mahupun jawatan kalian melainkan hanya takwa kepada Allah yang akan menyelamatkan kalian. Kalian akan dihisab dengan apakah kalian telah melaksanakan perintah dan larangan Allah dan bukannya disoal puak mana yang kalian wakili dan sejauh mana puak kalian mendominasi. Ingatlah bahawa, jawatan yang diperebutkan itu merupakan satu amanah yang besar dan sekiranya amanah tersebut tidak dilaksanakan sepatutnya berdasarkan syariat Islam, ia pasti akan menjerumuskan kalian kepada azab Allah Subhanahu wa Taala. Nauzubillahi min zalik.

Monday, October 6, 2008

Presiden Pakistan tidak anggap India ancaman Pakistan

Presiden Pakistan tidak anggap India ancaman Pakistan

06/10/2008 6:40pm

ISLAMABAD 6 Okt. – Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari berkata, India tidak pernah menjadi ancaman kepada negara ini dan beliau mengecap kumpulan pejuang Islam di wilayah Kashmir India sebagai “pengganas.”

Asif juga mendedahkan bahawa Islamabad mempunyai “persefahaman” dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung serangan peluru berpandu AS ke atas kedudukan Al-Qaeda dan Taliban di kawasan kabilah Pakistan.

Pandangan Asif mengenai India dilihat bertentangan dengan pendirian tentera Pakistan, yang menganggap negara jirannya itu yang memiliki senjata nuklear sebagai ancaman berterusan sejak kewujudan kedua-dua negara selepas kemerdekaan pada 1947.

India tidak pernah menjadi ancaman kepada Pakistan,” kata Asif dalam wawancara dengan akhbar Wall Street Journal (WSJ) semalam.

Menurut WSJ, Asif menyifatkan kumpulan pejuang Islam yang beroperasi di Kashmir India sebagai “pengganas”.

Seorang pegawai kanan India menyambut baik kenyataan Asif itu.

“Presiden Asif dan Pakistan patut mengotakan kata-kata itu dengan membendung keganasan,” kata Menteri Negara bagi Hal-Ehwal Luar, Anand Sharma.

Sharma berkata, kenyataan Asif yang mengecap pejuang militan Kashmir sebagai “pengganas” adalah yang pertama dibuat oleh seorang pemimpin tinggi Pakistan.

Kenyataan itu berlawanan dengan pendirian Pakistan sebelum ini yang menyifatkan pejuang Islam Kashmir sebagai mujahidin. – AFP

Sumber : Utusan Online


Ulasan:

Duda bekas Presiden Pakistan ini memang telah dikenali ramai sebagai orang yang penuh dengan korupsi dan pecah amanah. Tidak cukup dengan gelaran Mr.10% yang telah diraihnya sebelum ini, kini dia mula mengukir gelaran baru sebagai Mr.Yes Boss kepada tuannya iaitu Amerika dan mula melancarkan perang saraf ke atas kelompok Islam yang ikhlas berjuang menegakkan hak mereka di Kashmir. Ya, memang benar politik kapitalis golongan sekularis sering menyatakan ”My enemy’s enemy is my friend” (Musuh kepada musuh saya ialah kawan saya). Itulah yang berlaku dengan kenyataan yang terbaru ini dengan menyatakan bahawa mujahideen di Kashmir dan utara Pakistan merupakan golongan pengganas. Ini kerana, musuh kepada ”pengganas” ini ialah Amerika dan semestinya Amerika merupakan sahabat (baca : Tuan) si Asif Ali ini. Mungkin ini merupakan tanda terima kasih pertamanya kepada tuannya iaitu Amerika atas restu dan bimbingan yang telah diberikan kepadanya hingga si Asif Ali ini berjaya mencapai misinya iaitu jawatan Presiden Pakistan dan menghumban kambing hitam yang sebelum ini ke dalam bakul sampah.

Semestinya umat Islam di Pakistan dan seluruh dunia amnya akan terus di dominasi pihak kuffar, selagi mana agen- agen kuffar menguasai kaum muslimin dan sistem Islam tidak diterapkan sepenuhnya ke atas mereka. Sekiranya umat Islam dipimpin oleh seorang Khalifah yang ikhlas berkhidmat untuk Islam dan menegakkan deen Allah ini, pastinya umat Islam akan berada dalam keadaan sebaik- baik umat dan mengatasi musuh- musuh Islam.