Friday, October 10, 2008

Jangan Berpuak di dalam Puak

Ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Pemimpin-Pemimpin UMNO Negeri Kedah di sebuah hotel di situ, Datuk Seri Najib (DSN) mengingatkan kepada semua ahli UMNO supaya ”jangan berpuak”. Agak aneh seruan ini kerana kewujudan UMNO sendiri memang sudah sedia ada merupakan satu puak. Mungkin yang ingin dimaksudkan oleh DSN ini ialah supaya ”Jangan berpuak di dalam puak” supaya puak yang ada tetap satu puak iaitu UMNO. Memang sudah lumrah dalam parti politik assabiyyah seperti UMNO akan sentiasa wujud ”puak-puak kecil” di dalam puak besar UMNO. Ini kerana, puak- puak kecil inilah yang akan mendominasi puak besar UMNO dan mempengaruhi segala perjalanan parti dan malah boleh mendominasi perjalanan negara.

Mungkin tidak terlalu kasar bagi kita sekiranya menganalogikan puak- puak yang wujud ini seperti puak- puak sekawan singa di satu kawasan perburuan. Di mana puak- puak singa lain tidak dibenarkan berburu dan menceroboh kawasan perburuan puak singa yang lain. Dan sekiranyanya puak lain menceroboh dan ”mencari rezeki” di kawasan puak lain, maka akan berlakulah pergaduhan besar yang boleh membawa kekacauan di seluruh kawasan tersebut. Biasanya puak yang besar dan diketuai oleh singa yang kuat akan mendominasi kawasan perburuan tersebut, sesuai dengan prinsip ”The Law of Jungle”. Puak- puak yang kecil dan mempunyai ketua yang lemah (meskipun bijak), tidak akan mampu menguasai kawasan perburuan tersebut.

Seruan agar semua ahli UMNO bersatu semula setelah selesai ”perebutan tahta” tanpa meminggirkan puak yang kalah adalah satu yang kurang masuk akal. Ini kerana, sepanjang perjalanan puak besar UMNO ini, ”klik- klik” dikalangan kepimpinan dan ahli menang tidak dapat dipisahkan dan pastinya akan mewujudkan pelbagai ”team-team”, tidak kira sama ada ia merupakan ”Team A” ataupun ”Team B” mahupun ”My Team” sekalipun. Team- team ini pastinya akan menonjolkan jagoan dari team mereka dan menjungjung mereka supaya dapat menguasai tahta besar. Dan pastinya, segala junjungan dan sokongan tersebut akan mendapat imbalannya dan bukannya hanya sekadar sokongan membabi buta sahaja. Team- team ini pasti akan tetap wujud, cuma yang bezanya sama ada ahlinya tetap orang yang sama, ataupun ahlinya telah berpindah ke team yang lain. Biasanya team yang memerintah akan mudah mempengaruhi ahli team yang lain untuk menganggotai team mereka dengan pelbagai jenis sogokan.

Inilah keburukan dan kucar-kacirnya sekiranya parti yang didirikan bukan berasaskan aqidah Islam. Perjalanan parti sekular ini pastinya akan banyak dipengaruhi manfaat demi memenuhi gharizatul baqa’ (naluri survival) masing- masing. Berbeza dengan parti yang asasnya adalah aqidah Islam, akan mewujudkan sekelompok daripada umat yang ikhlas berjuang dengan membawa fikrah Islam, demi menzahirkan hukum- hukum syariat Islam. Parti Islam yang jelas fikrah dan tariqah partinya (yang berlandaskan Islam) akan memimpin umat supaya memilih pemimpin yang betul- betul mampu berkhidmat kepada seluruh umat dan bukannya hanya berkhidmat untuk ”puak-puak” pemerintah seperti yang berlaku sekarang. Pemimpin yang dipilih tersebut akan melaksanakan seluruh aturan dan larangan Allah secara kaffah dan memimpin umat ke arah jalan yang diredhai Allah.

Wahai puak-puak sekular! Ingatlah bahawa diri kalian akan dibangkitkan hari kemudian dimana tiada gunanya anak pinak, puak-puak mahupun jawatan kalian melainkan hanya takwa kepada Allah yang akan menyelamatkan kalian. Kalian akan dihisab dengan apakah kalian telah melaksanakan perintah dan larangan Allah dan bukannya disoal puak mana yang kalian wakili dan sejauh mana puak kalian mendominasi. Ingatlah bahawa, jawatan yang diperebutkan itu merupakan satu amanah yang besar dan sekiranya amanah tersebut tidak dilaksanakan sepatutnya berdasarkan syariat Islam, ia pasti akan menjerumuskan kalian kepada azab Allah Subhanahu wa Taala. Nauzubillahi min zalik.

No comments: